Tuesday 17 May 2011

Xsangka Boleh Dapat No. 1

Ni lah esei yang aku menang dlm pertandingan esei yang dianjurkan oleh Cetma UUM taun lepas.... Esei pendek je... hehehe...

 
CIRI-CIRI PENSYARAH YANG BERKESAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)


Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang baik merupakan satu aspek yang penting yang perlu diketahui dan dipraktikkan oleh pensyarah-pensyarah. Oleh itu, setiap pensyarah perlu mempunyai ciri-ciri sebagai pengajar atau pembimbing yang cemerlang dalam proses (P&P).Ciri-ciri pensyarah yang berkesan dalam proses (P&P) antaranya adalah mampu menarik minat dan memberi penjelasan yang jelas, memberi penilaian dan maklum balas yang sesuai, serta memberi kebebasan dan penglibatan aktif kepada pelajar. 

Ciri yang pertama perlu ada untuk menjadi pensyarah yang berkesan ialah mampu menarik minat dan memberi penjelasan yang jelas kepada para pelajar. Setiap pensyarah perlu memberi penjelasan yang jelas tentang subjek atau topik yang akan diajar dan dipelajari. Hal ini penting untuk menarik minat para pelajar terhadap apa yang akan mereka pelajari. Minat atau prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar terhadap subjek tertentu membuktikan bahawa pensyarah tersebut telah berjaya melaksanakan (P&P) dengan berkesan. Oleh yang demikian, ciri ini perlu dipraktikkan oleh semua pensyarah supaya matlamat (P&P) yang diharapkan akan tercapai.

Selain itu, seorang pensyarah yang berkesan juga perlu mampu memberi penilaian dan maklum balas yang bersesuaian terhadap pelajar. Pensyarah mesti membuat penilaian dan maklum balas yang sewajarnya terhadap tugasan yang diberikan berdasarkan komitmen dan persembahan oleh ditunjukkan oleh pelajar-pelajar berkenaan. Oleh itu, sebagai seorang pensyarah, penilaian dan maklum balas adalah perkara yang tidak boleh diambil ringan dalam proses (P&P) kerana ia akan mempengaruhi prestasi pelajar-pelajar. 

Ciri terakhir adalah memberi kebebasan dan penglibatan aktif kepada pelajar semasa proses (P&P). Kebebasan yang diberikan bukanlah bermaksud pelajar bebas membuat apa sahaja semasa kuliah dijalankan tetapi kebebasan dari segi kebebasan bersuara atau cara tugasan dilaksanakan. Memberi peluang kepada pelajar melibatkan diri secara aktif semasa (P&P) juga merupakan satu langkah yang wajar kerana pensyarah dapat meninjau tahap pemahaman pelajar terhadap subjek atau topik berkenaan.

Kesimpulannya, terdapat banyak ciri-ciri positif yang wajar diamalkan oleh pensyarah-pensyarah dalam (P&P). Namun, ketiga-tiga ciri di atas merupakan ciri-ciri yang paling utama bagi seseorang pensyarah untuk mencapai matlamat mereka menjadi pensyarah yang berkesan dalam (P&P). Keberkesanan pangajaran seseorang pensyarah akan mempengaruhi dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran seseorang pelajar.


No comments:

Post a Comment